11 August 2010

Pembinaan Pemikiran Murid - Lawatan Ke Kebun Buah-Buahan

Assalamu'alaikum wm wbr.

Salah satu aspek yang ditekankan oleh PASTI ASY-SYIFA' dalam mendidik anak-anak ialah memberi penekanan ke atas perkembangan kognitif murid.  Dalam kata lain memberi penekanan ke atas pembinaan pemikiran murid. 

Menurut pakar psikologi kanak-kanak dan epistemologi, Jean Piaget, terdapat 4 faktor yang saling berkait yang mempengaruhi proses pemikiran seorang manusia iaitu:

  1. Kematangan biologi - iaitu proses pemikiran yang dipengaruhi oleh faktor baka atau genetik.
  2. Interaksi individu dengan persekitaran - iaitu salah satu proses yang dilalui oleh manusia untuk memahami perkara-perkara yang berlaku.
  3. Pengalaman sosial - iaitu pergaulan individu dengan orang-orang di sekelilingnya.
  4. Proses keseimbangan - iaitu cara yang digunakan oleh individu untuk mengadaptasi dengan situasi yang baru dialami.
Menurut Piaget, setiap individu cenderung untuk memahami persekitaran mereka dan proses ini dikenali sebagai Proses Mencapai Keseimbangan. Setiap kali individu memperoleh sesuatu pengalaman, mereka akan menyusun pengalaman-pengalaman tersebut dalam minda dan membentuk satu sistem yang dipanggil skema. Proses penyusunan dan pembentukan skema ini dipanggil organisasi.

Skema-skema ini akan digunakan oleh individu apabila mereka berdepan dengan sesuatu situasi yang memerlukan penyelesaian. Dalam banyak situasi, skema-skema yang dibentuk ini akan berhadapan dengan situasi yang baru. Sebagai contoh, jika kanak-kanak telah mengenal bahawa binatang berkaki empat adalah kucing, namun apabila terlihat binatang berkaki empat yang lain, dan ibunya menerangkan bahawa itu ialah harimau, maka kanak-kanak akan membuat ubahsuai atau adaptasi ke atas skema yang yang terdahulu. Jika individu menggunakan skema baru untuk situasi atau pengalaman yang baru dan ia berjaya, maka dikatakan keseimbangan berlaku, tetapi sekiranya tidak memberi penyesuaian terhadap diri kita, maka keseimbangan tidak berlaku namun kita akan terus membina skema-skema baru untuk disesuaikan dengan situasi yg baru tersebut.


Dalam kata lain, Piaget percaya bahawa kanak-kanak belajar melalui aksi. Interaksi mereka dengan persekitaran semasa membesar membantu mereka mencipta dengan sendiri tanpa pertolongan orang dewasa, pengetahuan atau skema. Pengetahuan baru sentiasa menggantikan skema yang lama dalam proses yang dikenali sebagai asimilasi, akomodasi dan keseimbangan. 

Oleh kerana Piaget menyarankan bahawa kanak-kanak belajar melalui pengalaman dan melakukan aktiviti secara hands-on, maka penyediaan persekitaran yang menarik dan merangsang pembelajaran adalah penting.  Berasaskan kepada saranan Piaget ini, PASTI ASY-SYIFA' telah membawa murid-murid melawat kebun buah-buahan di salah sebuah rumah guru PASTI di Kg. Pulau, Masjid Tanah, Melaka pada 20 Julai 2010 yang lepas. Aktiviti tersebut turut di sertai oleh murid-murid dari PASTI LOKMAN AL-HAKIM, Masjid Tanah. Jadi di samping dapat mengenali berbagai jenis buah-buahan, murid-murid juga dapat bergaul antara satu dengan yang lain. Oleh itu aktiviti lawatan ini memanfaatkan faktor ke-2 dan ke-3 dalam proses pemikiran yang dikemukakan oleh Jean Piaget iaitu interaksi individu dengan persekitaran (mengenali buah-buahan) dan pengalaman sosial (berinteraksi dengan murid-murid dari PASTI yang lain).

PASTI ASY-SYIFA' mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pn. Gayah Binti Jusoh kerana sudi menerima kami sebagai tetamu. Semoga Allah SWT membalas jasa baik beliau.


Para Pelajar Beratur


Sesuatu Yang Amat Berharga

Salam Selamat Datang

Sesi Penerangan Bermula

Siapa tahu ini buah apa?
Saya tahu cikgu. Itu buah hitam-hitam si tampok manggis Kalau cikgu tak bagi kami menangis.

Okeeyy, ini pulak buah apa?
Saya tak tahu cikgu. Nanti balik rumah tanya nenek.

Murid dan guru memberi tumpuan.


Murid mula gelisah tak sabar nak makan buah

No comments:

Post a Comment